MENU

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, dinobatkan juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016, semalam, sekali gus meletakkan namanya selaku juara termuda kategori elit itu. Kasma mengesahkan gelaran itu pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan selepas berjaya muncul naib juara di belakang pelumba Givi Honda Yuzy Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi, yang menamatkan 18 pusingan perlumbaan itu dengan masa keseluruhan 13 minit 58.890 saat (s). Keputusan itu memahat namanya sebagai juara termuda CP130 pada usia 16 tahun 1 bulan 20 hari, sekali gus mengatasi rekod Hafizh Syahrin Abdullah, yang memenangi gelaran sama pada usia 16 tahun 6 bulan. Bermula dari petak ketiga, Kasma pada satu ketika mendahului perlumbaan sebelum dipintas Zaqhwan di pusingan ke-10 dengan pelumba veteran, Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) meraih podium pertamanya musim 2016 selepas menamatkan saingan di tempat ketiga. "Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan di atas kejayaan ini dan ia adalah kejayaan kami bersama. "Pasukan sudah menyediakan jentera yang sangat baik dan pada masa sama membolehkan saya mengerah segala kemampuan yang ada,." kata Kasma. Trofi kemenangan diserahkan oleh Raja Muda Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Selain juara termuda, kemenangan itu meletakkan Kasma sebagai pelumba remaja di bawah usia 20 tahun ketiga yang memenangi gelaran kelas perdana, selain Zaqhwan yang bergelar juara CP130 pada tahun 2014 ketika berusia 18 tahun. Selain Kasma, rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham, yang gagal menamatkan perlumbaan turut mengesahkan gelaran sebagai naib juara keseluruhan musim 2016. Dalam saingan CP115, Azroy Hakeem Anuar menghadiahkan kemenangan kedua buat Yuzy Racing selepas menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:'6.006s. Hakeem melepasi garisan penamat mengatasi dua pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues di kedudukan kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa 11'47.308s dan 11'50.324s. Gelaran naib juara terus menjarakkan kedudukan Akid di tangga teratas keseluruhan dengan 126 mata, 18 mata, mengatasi Tengku Amirul Haffirudin dan Haziq, yang berkongsi 108 mata. Dua podium yang diraih mengesahkan kedudukan PETRONAS Yamaha Maju Motor sebagai juara berpasukan dengan 234 mata. Sementara itu, dalam saingan Wira, Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) mensia-siakan peluang untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 apabila terjatuh ketika bersaing sengit untuk merebut kedudukan podium. Pencabar utama, Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) kembali menghidupkan peluang untuk merebut gelaran keseluruhan apabila memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 9'45.282s. Tempat kedua milih rakan sepasukan Shafiq, Saiful Azhary Muhamad dengan masa 9'47.032s, manakala Md Izam Ikmal Izami meraih podium pertama musim 2016 setelah menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan masa 9'51.315s. Shafiq kini mendahului kedudukan dengan 176 mata, 23 mata mengatasi Helmi di tangga kedua dengan 153 mata manakala Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) yang tidak beraksi di Jempol akibat kecederaan kekal di tangga ketiga dengan 103 mata. Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November.