Dalam kemuncak majlis yang diadakan di Dataran MPJL di sini, Tuanku Muhriz menandatangani plak pengisytiharan dengan disaksikan kira-kira 3,000 pengunjung.

Turut berkenan berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, MPJL adalah majlis perbandaran yang keempat di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Seremban, Nilai dan Port Dickson.

"MDJL telah mencapai tujuh kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membolehkannya dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.

"Antaranya adalah mencapai jumlah penduduk tidak kurang daripada 150,000 orang, memperoleh hasil tahunan tidak kurang daripada RM20 juta dan mempunyai kegiatan perindustrian, perniagaan, pelancongan dan perumahan utama," katanya.

Ujarnya, kejayaan menerima pelbagai pengiktirafan dari segi pengurusan kewangan, perancangan bandar, pengurusan dan inovasi menjadi pemacu kepada pengiktirafan MDJL sebagai majlis perbandaran. - UTUSAN ONLINE